Sistem eKlinikal Versi 3 Fasa 1


Sistem eKlinikal Versi 3 Fasa 1 telah selesai pelancaran sistem di Majlis Amanat Naib Canselor USIM tahun 2025 pada 24 Januari 2025 (Jumaat) bertempat di Dewan Kuliah Pusat 3 (DKP3). Pelancaran sistem disempurnakan oleh Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM dengan tayangan video pelancaran sistem serta sijil penyerahan sistem kepada pemilik sistem iaitu Dekan Fakulti Pergigian mewakili Fakulti Pergigian dan Pengarah Pusat Kesihatan Universiti mewakili Pusat Kesihatan Universiti. Sesi pelancaran sistem dan penyerahan sijil ini dengan dihadiri oleh Dr. Syaril Nizam Omar, Ketua Pegawai Digital, Prof. Madya Dr. Razrim Bin Rahim, Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan merangkap Ketua Projek CHARMS (Clinical, Hospital and Resources Management System) dan Ts. Mohd Saiful Abdul Samad, Pengarah Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan.
Sistem eKlinikal versi baharu (versi 3) dibangunkan bagi mengoptimumkan operasi klinik perubatan dan pergigian Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan menyediakan platform operasi klinik yang lebih efisyen terutamanya dalam memberikan perkhidmatan kepada komuniti luar dan bagi memenuhi keperluan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang melibatkan pelajar dan pensyarah di Fakulti Pergigian (FPg).
Sistem eKlinikal Versi 3 Fasa 1 dibangunkan secara dalaman (in-house) oleh staf teknikal di Unit Aplikasi Klinikal, Bahagian Aplikasi Korporat dan Kewangan, Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC) adalah bagi menggantikan sistem versi terdahulu. Pemilik Sistem ini adalah Pusat Kesihatan Universiti (PKU) dan Fakulti Pergigian (FPg). Penggunaan sistem ini tidak terhad kepada staf klinik di FPg dan PKU, tetapi juga menyokong PdP antara pensyarah dan pelajar klinikal tahun 3, 4 dan 5 di FPg.
Sistem eKlinikal Versi 3 Fasa 1 telah menerima Anugerah Kreativiti dan Inovasi pada Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Inovasi USIM pada 13 Ogos 2024 dan telah menerima penarafan PERAK di Hari Inovasi @KPT 2024 yang berlangsung di Kementerian Pendidikan Tinggi pada 23 dan 24 Oktober 2024.
Selain itu juga Sistem eKlinikal Versi 3 Fasa 1 juga telah didaftarkan dan diiktiraf sebagai Harta Intelek oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).