14 Mei 2025, Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC) telah menganjurkan satu sesi latihan ICT bertajuk LICT0125 – Canva AI yang bertemakan “Tingkatkan Kreativiti Digital dengan Kecerdasan Buatan (AI)”. Latihan ini telah berlangsung secara hibrid di Makmal Komputer Bahasa MB 1.1, Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) serta secara dalam talian melalui platform Microsoft Teams.

Sesi latihan selama dua jam ini dikendalikan oleh dua orang Pereka Instruksional SDEC, iaitu En. Muizzuddin Musa dan En. Muhammad Faris Aqil, yang berkongsi kepakaran mereka dalam penerapan teknologi AI melalui platform reka bentuk popular, Canva.

Antara fokus utama latihan ini adalah:

  • Pengenalan kepada Canva dan integrasi teknologi AI.

  • Demonstrasi penggunaan serta teknik prompt yang berkesan.

  • Aktiviti hands-on seperti mereka imej, video dan penjanaan kod dengan Canva AI.

  • Penerokaan aplikasi Canva AI dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta automasi pejabat.

Sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan penyertaan fizikal seramai 40 peserta yang telah penuh dalam masa singkat. Sesi ini juga direkodkan bagi tujuan rekod Mata CPD Latihan staf USIM.

Latihan ini mencerminkan komitmen USIM dalam memperkasakan staf dengan kemahiran digital semasa selaras dengan arus perkembangan teknologi kecerdasan buatan.