Sistem Kenaikan Pangkat Pensyarah (At-Tarqiyah)


Penyerahan rasmi Sistem At-Tarqiyah (Sistem Kenaikan Pangkat Pensyarah) daripada Pengarah Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC) kepada Jabatan Pendaftar selaku pemilik sistem, yang diwakili oleh Ketua Jabatan Pendaftar, telah berjaya dilaksanakan pada 29 Julai 2026 (Rabu) sempena Majlis Pra Pelancaran dan Penyerahan Sistem At-Tarqiyah yang berlangsung di Dewan Senat, Aras 3, Bangunan Canselori.
Majlis pra pelancaran sistem telah disempurnakan oleh Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM, menerusi tayangan video gimik pelancaran sebagai simbolik perasmian sistem.
Pembangunan Sistem At-Tarqiyah merupakan inisiatif pendigitalan proses permohonan kenaikan pangkat pensyarah yang sebelum ini dilaksanakan secara manual. Pelaksanaan sistem ini dijangka memberikan pelbagai manfaat, antaranya mempercepatkan proses kenaikan pangkat melalui permohonan secara dalam talian yang disokong oleh integrasi dengan sistem-sistem sumber data, mengurangkan penggunaan kertas, memudahkan pemohon membuat semakan status permohonan secara masa nyata (real-time), serta menjadikan proses perakuan dan kelulusan di setiap peringkat lebih cekap, telus dan sistematik.
Sistem ini telah dibangunkan sepenuhnya secara dalaman oleh staf teknikal Unit Aplikasi Korporat, Bahagian Aplikasi Korporat dan Kewangan, Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC), sekali gus mencerminkan komitmen USIM dalam memperkasa transformasi digital serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada warga universiti.