13 Oktober 2022 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini melancarkan program Micro-credential bertempat di Dewan Kuliah Pusat 3. Disempurnakan oleh Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, program Micro-credential ini merupakan salah satu inisiatif utama e-Pembelajaran di USIM.

Ianya sejajar dengan Shif 9 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia: Pendidikan Tinggi (PPPM:PT) iaitu Globalised Online Learning.

Micro-credential adalah pembelajaran dalam talian berasaskan topik. Ianya bertujuan untuk menambah ilmu (upskilling) atau memperbaiki ilmu (reskilling) dan melaksanakan personalized learning.

Peserta yang berjaya melengkapkan topik dianugerahkan lencana digital (digital badge) dan sijil tamat kursus (certificate of completion).

Melalui sinergi bersama Pusat Kecemerlangan Pengajaran dan Pembelajaran (CETL), Penolong Naib Canselor (Penjanaan dan Kelestarian Kewangan), Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC) dan fakulti-fakulti serta pusat akademik, sebanyak 15 kursus Micro-credential yang mempunyai daya saing tinggi bakal ditawarkan selari dengan Sasaran Tahunan USIM (STU5): Projek Micro-credential.

Di antara kursus Micro-credential USIM adalah pertama Pengurusan Harta dan Pewarisan Pusaka – Pengiraan Faraid, kedua Kaunseling Keluarga: Apa dan Bagaimana, ketiga Pembangunan Kamus Poket Bahasa Arab Menggunakan Data Studio, keempat B&K Up: Kursus Asas Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling untuk Komuniti Pendidik, kelima Pemantapan Perpaduan Kaum, keenam Perundangan Keluarga Islam di Malaysia, ketujuh Asas Mengenali Hadith, kelapan Seni Taranum Al-Quran, kesembilan BLS Siri 1A: Apa Itu CPR? (Edisi Dewasa), kesepuluh Perundangan Keluarga Islam di Malaysia- Penceraian Muslim Secara Lafaz Talak di Malaysia, kesebelas Step By Step Memahami Tafsir Al-Quran, kedua belas Kaunseling Keluarga: Teknik dan Kemahiran, ketiga belas Business Analytics, keempat belas Certified Ethical Content Creator (CECC) dan kelima belas Communication for Impact (CFI).

Profesor Ts. Dr. Sharifudin berkata, “Melalui penawaran program micro-credential ini, adalah diharapkan dapat mendekatkan USIM di hati masyarakat sesuai dengan keperluan semasa di samping meningkatkan imej USIM sebagai sebuah institusi pendidikan Islam yang inklusif untuk semua pendidikan termasuk pendidikan berasaskan teknologi.”

“Semoga inisiatif ini juga dapat mendukung kelestarian agenda pembudayaan pembelajaran berasaskan kompetensi lebih-lebih lagi dalam menyebarluas kepakaran USIM dan berkongsi ilmu kepada pelbagai lapisan masyarakat”. Ujarnya lagi.

Orang ramai dan golongan profesional yang berminat untuk mengikuti mana-mana program micro-credential yang ditawarkan boleh melayari laman web mooc.usim.edu.my atau hubungi wakil CETL iaitu Pn. Wan Ainor Rahmah Abd Aziz di talian 06-7985098 atau Prof. Madya Dr. Mohammad Najib Jaffar di talian 06-7985097 untuk maklumat lanjut berkenaan program.

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan