20 Jun 2025 – SDEC USIM telah menganjurkan dua program bermakna pada hari yang sama bagi memupuk semangat kebersamaan dan memperkukuh kesejahteraan rohani warga kerja.

Program dimulakan dengan Majlis Solat Hajat yang diadakan seawal 8:30 pagi bertempat di Surau SDEC. Majlis ini diadakan bagi memohon kesejahteraan, kesembuhan, serta kelancaran urusan seluruh warga SDEC. Ia turut menjadi platform untuk bersama-sama berdoa agar segala usaha dan perancangan yang direncana sentiasa diberkati dan dipermudahkan oleh Allah SWT.

Selesai solat hajat, acara diteruskan dengan Program Gotong-Royong Mega SDEC 2025 yang berlangsung dari 8:45 pagi hingga 11:30 pagi. Aktiviti pembersihan melibatkan kawasan sekitar ruang pejabat dan perkarangan bangunan SDEC. Para staf hadir dengan pakaian sukan dan semangat yang tinggi, menjayakan aktiviti dalam suasana penuh kerjasama dan keceriaan.

Program gotong-royong ini turut dimeriahkan dengan sumbangan makanan secara potluck daripada warga SDEC, menambahkan lagi semangat kekeluargaan dan kebersamaan.

Kedua-dua program ini mencerminkan komitmen SDEC dalam memelihara kebersihan, kesihatan, serta kekuatan spiritual dalam kalangan warganya. Semoga usaha murni ini terus menjadi amalan berterusan dalam membina persekitaran kerja yang sihat dan harmoni.