Dalam usaha menyokong digital transformasi di dalam pendidikan tinggi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melancarkan Virtual ID (V-ID) Card USIM menerusi platform USIM Mobile 2.0 pada 17 Mac 2023 yang lalu.

Naib Canselor Prof Dato Ts. Dr. Sharifudin Md Shaari berkata dalam Majlis amanat beliau yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor baru-baru ini, idea pelaksanaan V-ID Card ini tercetus pada penghujung tahun 2022 dengan kerjasama dari kumpulan teknikal Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC), Pusat Komunikasi Strategik, Jabatan Keselamatan dan Jabatan Pendaftar.

“Universiti sentiasa menyokong perkembangan era permodenan dan teknologi terkini. Dengan kewujudan V-ID Card ini ia bertindak sebagai alternatif pengenalan diri secara fizikal kerana ia memudahkan capaian di ‘hujung jari’ menggunakan telefon pintar tidak kira masa dan tempat”, ujarnya.

Menurut Prof Dato Ts. Dr. Sharifudin lagi, aplikasi USIM Mobile edisi 1.0 yang telah dibangunkan pada Ogos 2019 adalah untuk keperluan capaian terutamanya pelajar sarjana muda untuk semakan keputusan peperiksaan dan lejer pelajar.  Kemudian, penggunaan secara optimum adalah ketika pandemic COVID-19 pada bulan Mac 2020 untuk tujuan pengrekodan kehadiran staf semasa bertugas secara Bekerja Dari Rumah (BDR).

“Dengan pelaksanaan USIM Mobile ini, penerapan konsep ‘Bring Your On Device’ (BYOD) kepada staf telah dikuatkuasakan serta merta di mana semua warga USIM perlu menggunakan telefon pintar masing-masing untuk akses ke dalam aplikasi USIM Mobile dan tiada lagi Kiosk Mesin myAKRAB disediakan”.

Kini, USIM telah menaik taraf fungsi aplikasi kepada versi USIM Mobile 2.0 dan pihak pengurusan universiti mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC) yang telah mengambil tindakan proaktif bagi merealisasikannya dalam tempoh masa yang singkat.

*Artikel berita bertarikh 20 Mac 2023 di usim.edu.my oleh Noorumaina Mohamed Yunus, Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)